Al-Fatihah buat Cikgu Kamaruddin

Allahuakbar, hari ini saya telah menerima satu perkhabaran yang agak mengejutkan, menyedihkan dan buat saya termenung sendiri.

Semasa menonton TV, saya cuba untuk online tetapi menghadapi kesukaran loading. Seperti tidak logik keadaan sedemikian berlaku kerana biasanya ruang itu tidak jauh dari modem wifi. Selepas menonton, saya masuk ke bilik dan hati saya tergerak untuk online walaupun jam baru pukul 1 tengah hari. Kebiasaannya dalam jam 3 petang baru saya akan membuka laptop tetapi hari ini, hati saya begitu teringin untuk online. Selepas membuka laman sosial, barulah saya faham akan sebabnya. Satu berita yang tidak begitu menyenangkan, begitu perit dan memilukan yang saya terima.

Tangan terus ligat mencari handphone dan menghubungi Sufian. Ya, memang benar berita tersebut. Allah, sekejapnya rasa hidup di dunia ni. Kali terakhir bertemu arwah tidak sampai tiga bulan yang lepas, arwah masih sihat dan seperti biasa. Memang, kalau dah memang janji Allah, tidak kira apa jua keadaan, walau di mana, walau bila pun, ajal akan tiba tepat pada waktunya tanpa mengenal makna 'tangguh'.

Mengenali arwah kira-kira 8/9 tahun yang lepas, saya mula mengenali beliau semasa tuisyen di Pusat Tuisyen Ayu berhampiran dengan rumah saya. Waktu itu, arwah mengajar di kelas saya dan banyak mencurahkan ilmu kepada saya. Sedikit sebanyak, beliau membantu saya dalam bersiap menghadapi peperiksaan UPSR. Walaupun berbayar, tetapi ilmu yang telah saya dapat dari arwah berganda lagi nilainya. Mana mungkin kita boleh membeli ilmu pengetahuan dengan duit, kecuali menggunakan duit untuk mencari ilmu. Sejak dari itu, arwah adalah seorang guru yang telah banyak berjasa kepada saya.

Apabila berakhir sekolah rendah dan memasuki sekolah menengah, ternyata rancangan Allah untuk mempertemukan lagi kami masih ada. Anak sulung beliau, Syahiran Ikhwan yang sudah saya kenali di pusat tuisyen, juga bersekolah di sekolah yang sama. Oleh itu, saban waktu apabila tiba minggu pulang ke rumah, saya akan berjumpa lagi dengan arwah. Sekalipun bukan minggu pulang ke rumah, kadang-kadang terlihat juga arwah datang ke sekolah bagi menjenguk sahabat saya itu dan adiknya Syahirah yang juga bersekolah di situ.

Memasuki tahun PMR iaitu 2008, beliau sering dijemput oleh pihak sekolah untuk membimbing, memberi ilmu dan tips-tips untuk menjawab soalan PMR kepada batch saya. Rasanya saban tahun arwah dijemput bagi tujuan yang sama di sekolah saya. Sekali lagi saya menuntut ilmu dari arwah dan tidak dinafikan banyak membantu saya dan rakan-rakan yang lain dalam subjek bahasa melayu. Kepakaran dan kemahiran arwah dalam subjek tersebut memang jelas dan bagi saya, tunjuk ajar arwah telah banyak memberi kefahaman serta menokok tambah yang sedia ada.

Tahun SPM pula, arwah masih lagi insan yang sama membantu saya dan rakan satu batch. Datang ke sekolah pada waktu malam untuk memberi tunjuk ajar dan bimbingan. Arwah tidak pernah lokek ilmu. Kadang-kadang apabila bercakap dengan arwah, kami bebas bertanya sebarang soalan berkaitan dengan bahasa melayu, kosa kata atau meminta sedikit nasihat. Begitu pemurahnya arwah yang begitu mudah didekati.

Mengenali arwah, arwah merupakan seorang yang amat peramah dan mudah mesra. Beberapa kali bertandang ke rumahnya, saya dan kawan-kawan yang lain sentiasa dilayan dengan baik. Jika dengan arwah, pasti ada sesuatu yang ingin dibualkan memandangkan arwah sendiri suka bertanya dan bercerita. Selain pakar bahasa melayu, arwah merupakan seorang bilal di Masjid Baru Rantau Abang. Alunan azan dari mulut beliau mungkin sudah dikenali penduduk setempat memandangkan sudah sekian lama arwah menjadi bilal di sana. Allahu Rabbi, betapa besarnya ganjaran di sisi Allah. Seruan agung, seruan mengajak manusia menunaikan kewajipan dan seruan yang diajar oleh Rasulullah sendiri kepada Bilal bin Rabah. Selepas ini, tiada lagi suara azan sebegitu, tiada lagi lunak suaranya menyelubungi Rantau Abang tiap kali masuk waktu solat.

Sudah janji Rabbul Izzati, setiap yang bernyawa pasti akan mati. Yang kekal hanyalah Dia. Mahu atau tidak, kita semua harus menerima ketentuan ini. Buat sahabatku Ikhwan, bersabarlah dengan ketentuan ini. Allah lebih sayangkan arwah. Arwah hanya seorang hamba, sama seperti kita semua. Apabila pemilik sudah memanggil dan mengambil kembali, kita harus lepaskan. Mungkin sekarang sudah tiba masanya untuk memikul tanggungjawab untuk menjaga keluarga, sesuai dengan status sebagai anak sulung. Jaga adik-adik dan ibu sepertimana dilakukan arwah. Yang masih belum kehilangan mungkin tidak merasa tetapi ku cuba jua untuk memahami. Ya Allah, ringankan beban sahabatku ini. Tabahkan hati dia sekeluarga.

Memoir yang akan ku kenang, dan akan ku ambil sebagai pengajaran. Mungkin selepas ini giliranku. Mungkin ku tidak akan bangkit lagi selepas tidur nanti, atau jua ketika online ini. Maut itu rahsia Allah dan sesiapa jua harus bersiap siaga untuk menghadapinya. Cikgu, semoga cikgu ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan terima kasih atas jasa dan pengorbanan cikgu selama ini. Al-Fatihah :'(

p/s : Mohon didoakan juga kepada saudari Farah Aisyah Ahmad yang dikhabarkan sakit dan menjalani pembedahan di Jordan serta perjalanan pulang Ikhwan ke tanah air selamat, Insya-Allah.

Harry Potter - Golden Snitch