Hidup Atas Pilihan

Salam Aidiladha (terlambat ucap) dan selamat malam.


Dah lama agaknya tidak mengirim entri baru ke blog ini. Sibuk? Mungkin. Malas? Pun mungkin. Apa jua kemungkinan boleh berlaku kan? ^^,


Perasan atau tidak, lagu Pokok nyanyian M.U.H bersama Hazama sering kedengaran di corong radio kebelakangan ini. Lagu pun sedap. Slow dan gaya bahasa yang mudah. Eh, ada jugak ke yang belum mendengar lagi? Kalau begitu,luangkan masa sebentar untuk mendengar lagu ini (tolong 'pause' lagu yang dah ada dalam blog ini).






Meet Uncle Hussain Feat. Hazama - Pokok



Macam mana? Best tak? Terserahlah bagaimana anda menilainya. Mesti ramai yang fikir apa yang aku merapu ni kan? Macam sembang kosong je. Ok lah, perasan tak dalam satu rangkap tu, ada lirik ni:
''Tak Mudah Namun Tak Susah,
Terserah Atas Pilihan.''

Kalau tak jumpa, tengok minit 01:24. Lagu yang menjadi siulan anak muda tetapi fahamkah erti tersirat dalam liriknya? Bahkan mungkin ada yang hanya mengungkap tanpa menyedari. Apa maksud aku di sini? Hanya ingin mengatakan, sebenarnya dalam apa jua yang kita lakukan, apa yang kita terima, apa yang kita mahukan adalah terserah atas pilihan (kebanyakan perkara adalah begitu).

Sesuatu perkara yang kita hadapi, senang atau susah, juga terserah kepada pilihan kita. Perkara senang, jika pilihan kita untuk tidak menghadapinya, maka tiada hasil buat kita. Jika kita memilih untuk menghadapi, mungkin akan ada hasilnya walaupun tidak seberapa. Itu adalah lebih baik sebenarnya dari langsung tiada apa-apa.

Jikalau kita diberi satu tugasan, yang pada pengamatan kita adalah sukar, maka kita ada dua pilihan di situ. Membuatnya atau meninggalkannya. Hidup ini sentiasa ada pilihan kecuali perkara yang dalam ketentuan Tuhan seperti mati, syurga neraka, zuriat dan lain-lain seumpamanya. Berbalik kepada persoalan tadi, jika kita berbalik kepada lirik tadi dengan situasi yang aku berikan, memang tak mudah untuk melakukannya tetapi siapa tahu ianya adalah mudah. Pelik bukan? Kita mengatakan susah kerana belum mencuba. Telah membuat pilihan untuk tidak meneruskannya kerana pada pandangan kita ia adalah sukar namun siapa tahu jika ianya mudah bukan?

Persepsi yang pelbagai sering mempengaruhi kita membuat pilihan yang tidak tepat dan menjadikan kita dalam keadaan sukar untuk membuat pilihan. Selagi ia tidak melampaui batas kemampuan manusia, selagi itulah segala kemungkinan adalh tidak mustahil. Maka, mengapa sering berkata dan memberi jawapan TIDAK kepada pilihan kita? Semuanya atas pilihan kita sebenarnya. Sesuatu perkara, walaupun tidak mudah namun akan menjadi tidak susah jika sudah biasa.

Kita hanya membataskan kemampuan dan keupayaan diri dengan membuat pilihan yang tidak tepat. Contoh, kita belajar dengan tahap pembelajaran di aras 3. Aras 4 amatlah susah dan berisiko untuk gagal. Namun haruskah kita membuat pilihan, 'Oh, susahnya pembelajaran aras 4. Kalau begitu, aku tak nak lah ke aras 4.' Jika demikianlah pilihan yang kita buat, aras pembelajaran kita hanya statik di aras 3 tanpa ada kemajuan. Kita tidak akan maju ke hadapan dan hanya terperuk di sesuatu tahap sahaja. Bukankah rugi pilihan kita itu? Kita belum lagi mengalami dan melalui aras 4. Kita takkan pernah tahu adakah kita mampu menghadapi aras 4 itu kerana pilihan salah yang kita buat. Rugi bukan?

Hidup ini sebenarnya penuh dengan pilihan. Dari awal kita membuka mata sehinggalah menutupnya kembali. Bermula dengan pilihan untuk kita bangkit dari tidur atau meneruskan kembara mimpi sehinggalah pilihan untuk tidur ataupun berjaga malam. Kita selalu membuat keputusan sebenarnya, tetapi yang kita sering tidak sedari adalah tepatkah keputusan kita itu. Itu sahaja. Itulah kelemahan manusia sebenarnya. Bukan sering tepat membuat keputusan. Namun itu jugalah yang harus kita perbaiki dan mengurangkan kesilapan.

Dalam satu lagi contoh, kita ada pilihan untuk berpuasa atau tidak. Boleh sahaja kita tidak berpuasa atau sebaliknya. Namun pilihan kita itu juga harus rasional dan mempunyai sebab yang munasabah. Kita boleh membuat membuat pilihan untuk tidak berpuasa namun mengapa kita membuat pilihan itu? Apakah akibat dan kesan pilihan kita itu? Jika kita memilih untuk berpuasa, persoalan yang sama juga. Pilihan manakah yang sebaiknya? Tidak berpuasa kerana tak mahu menahan lapar dan berpuasa kerana menurut perintah Allah, menunaikan rukun Islam dan kewjipan seorang hamba Allah. Makanya, apabila sudah ada sebab-sebab untuk pilihan kita itu, maka kita bolehlah membuat pilihan sebenarnya.

Lihat, kita sentiasa ada pilihan. Setiap detik, pilihan sentiasa datang kepada kita untuk dipilih. Yang tinggal hanyalah diri kita. Kita yang memilih, maka bersedialah jua menerima kesan dan akibat dari pilihan kita itu. Sama ada baik atau sebaliknya. Kita yang membuat, kita harus menerima. Insya-Allah kebaikan dan manfaat akan selalu kita terima apabila membuat pilihan yang tepat. Mungkin setakat ini sahaja entri aku, dah tak tahu nak menaip apa. ^_^

Selamat malam semua dan doakan aku untuk 16 Oktober ni. Aduh, gabra lah pulak. Si gemuk, saya akan pergi! :) Tq for everything yek. Assalamualaikum....

~Memilih Si Gemuk adalah pilihan sukar yang pernah aku buat. Moga keputusan aku ini tepat dan dipermudahkan segala urusan. Bukan senang membuat pilihan melibatkan pasangan hidup~

Harry Potter - Golden Snitch